Monday, February 11, 2008

Kenali Serambi Maya

Serambi Maya telah diilhamkan oleh Muhammad Suhail bin Ahmad pada 1 Oktober 2004. Nama Serambi Maya adalah cetusan hatinya yang cuba menggambarkan keramahan dan keterbukaan dalam menerima orang ramai dengan penggunaan perkataan serambi.

Perkataan Serambi bermaksud selasar yg panjang (bersambung dgn ibu rumah tetapi biasanya rendah sedikit) [sumber: Kamus Dewan]. Mengikut adat budaya Melayu, serambi didirikan di sesebuah rumah sama ada di bahagian depan atau belakang bertujuan menjadi tempat perkumpulan dan meraikan tetamu. Di sinilah berlakunya hubungan sosial yang erat apabila tetamu tidak berasa kekok dek kerana suasananya yang santai.

Manakala perkataan maya pula bermaksud sesuatu yang kelihatannya ada tetapi sebenarnya tidak ada, bayangan, khayalan [sumber: Kamus Dewan]. Serambi yang dimaksudkan tidak wujud pada kejadian fizikalnya tetapi wujud pada maksud dan tujuan dijadikan serambi.

Maka, nama Serambi Maya ini bertujuan meraikan para pelanggan dengan kemesraan dan keramahan jurufoto dan krew lain tanpa meletakkan rasa kekok dan asing sebelum, semasa dan selepas menggunakan khidmat kami.

Pada mulanya Serambi Maya hanya menjadi nama bagi foto-foto peribadi yang dirakam dan disunting oleh Suhail. Kemudian, Suhail mula mengambil gambar di beberapa majlis perkahwinan. Dan atas desakan rakan-rakan dan keluarga, pada 7 Julai 2007, Suhail telah membuat keputusan untuk memulakan perniagaan fotografi ini secara lebih serius.

Suhail mula mengikuti kelas-kelas fotografi dan mendapat bimbingan daripada jurufoto profesional dan amatur lain. Kini, Serambi Maya telah mendapat seorang lagi jurufoto yang berkemahiran iaitu Abdul Hakim bin Shahabudin. Serambi Maya kini sudah mempunyai jurufoto junior, Mohd Shazni bin Abdullah dan Muhammad Huzaifah bin Ahmad.

Bermula dengan hobi, kesemua jurufoto ini sangat ghairah untuk mengambil pose terbaik dalam setiap pakej penggambaran yang ditawarkan. Jadi, tidak hairanlah Serambi Maya menawarkan penggambaran tanpa had bilangan gambar yang akan diberikan kesemuanya kepada pelanggan.